NOVEMBER 2022

Kerajaan Sarawak Kaji Skala Gaji Kakitangan Awam


KUCHING: Kajian menyeluruh perlu dilakukan untuk menaikkan skala gaji perkhidmatan awam Sarawak, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, semua jawatan bertaraf pencen dalam perkhidmatan awam tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana semua pencen itu dibayar Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Sarawak tidak boleh mewujud jawatan sebarangan atau sistem gaji dan faedah pencen tanpa kelulusan JPA, katanya ketika melancarkan Hari Integriti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di sini.

“Saya dahulu pernah menyatakan Kerajaan Sarawak akan mengkaji kemungkinan menaikkan kuantum gaji perkhidmatan awam (Sarawak) sebagai langkah menangani rasuah seperti apa yang dilaksanakan Singapura.

“Gaji kakitangan awam tidak setimpal dengan kenaikan kos sara hidup yang mungkin menggalakkan mereka mencari wang berlebihan dengan menyalahgunakan wang awam,” katanya.

Pada sesi townhall Perkhidmatan Awam pada 28 September, beliau memberitahu akan mencari jalan menaikkan gaji kakitangan awam Sarawak dengan harapan menangani rasuah dalam perkhidmatan awam mengikuti Singapura.

Abang Johari berkata, beliau mungkin mengkaji mengubah sistem berkenaan tetapi kedudukan kewangan Sarawak perlu kukuh dan bebas.

“Saya sedang berusaha menubuhkan tabung kekayaan berdaulat. Pada sidang DUN akan datang, saya akan membentangkan akta tabung berdaulat itu yang merangkumi tabung dormant,” tambahnya.

Jika Sarawak mendapat pulangan yang baik, faedahnya pasti akan dikongsi bersama dengan kakitangan awam di Sarawak, katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti